Isu kenaikan harga barang dijadikan alasan peniaga di bazar Ramadan untuk menaikkan harga makanan sehingga mengakibatkan pengguna berasa terbeban dengan perkara itu.
Meskipun ramai yang mengeluh dan terkesan dengan perkara itu, tetapi pengguna tidak mampu untuk mengambil sebarang tindakan agresif agar harga jualan makanan di bazar Ramadan dapat diturunkan.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik oleh seorang pengguna media sosial di platform X yang memegang akaun @lady_bugg11, dia meluahkan rasa tidak puas hati susulan kenaikan harga melampau sempena Ramadan kali ini
“Maaf kami taknak beli. Semua orang tahukan?? telur, tepung, minyak, ayam, daging import, susu dan magerin (marjerin) tak naik harga, bawang saja agak tinggi harganya (bukannya dalam murtabak (martabak) tu letak bawang sekilo untuk sebiji murtabak!!).
“Tiba-tiba harga dinaikkan berganda ganda. Hanya pengguna yang boleh mengajar peniaga yang naikkan harga sesuka hati,” katanya menerusi hantaran di X miliknya.
Dalam pada itu, isu ini sekali lagi dibangkitkan dek kerana ramai netizen meluahkan rasa tidak puas hati kerana mereka terpaksa menanggung kos kenaikan harga barang seperti yang diperkatakan oleh peniaga.
“Alasan naik harga sebab bawang mahal. Aku bukan nak martabak bawang, aku nak martabak ayam, dari kau beli bawang banyak-banyak, baik lebihkan ayam, pengguna pun seronok membeli,” kata seorang pengguna di X @Yeagerz.
“Harga ayam bawah rm8. Harga minyak masak saji rm28. Lagi nak pergi haji balik hari,” kata seorang pengguna di X @ucoptempe.
“Betul… mana-mana yang menaikkan harga dengan melampau… patut ramai2 boikot! Bukan sibuk boikot mekdi, kepci, cocacola saja!,” kata seorang pengguna di X @oreo_koshka27.
Difahamkan terdapat peniaga yang terpaksa menaikkan harga juadah sekitar RM1 hingga RM2 disebabkan terbeban dengan kenaikan harga barang.
Terdapat juga tular isu peniaga martabak di sebuah Bazar Ramadan di mana dia terpaksa menaikkan harga martabak yang dijual dari harga RM5 kepada RM7.
Difahamkan, Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia (KPDN), Fuziah Salleh, mengatakan pihaknya melaksanakan Op Pantau di bazar seluruh negara sepanjang Ramadan bagi memastikan harga makanan tidak dijual secara melampau.
Baca juga: