Pelakon Ruhainies mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu tangkap khalwatnya bersama rakan artis, Aliff Aziz setelah hampir seminggu kejadian tersebut berlaku.
Jelas Ruhainies, 31, dia hanya mengajak Aliff, 33,ke kediamannya memandangkan mereka baharu selesai penggambaran bersama dan berhasrat untuk makan malam.
Katanya, pada malam itu, dia merancang untuk menikmati makan malam bersama adik beradik dan mengajak Aliff untuk menyertai mereka, memandangkan ahli keluarga Ruhainies akan bermalam di rumahnya pada malam itu.
Ruhainies juga menyatakan bahawa Aliff dan keluarganya telah mengenali satu sama lain sejak 10 tahun lalu.
Jelas Ruhainies, kakaknya pelakon Risteena Munim sepatutnya sudah tiba lebih awal namun, kelewatan kerana mengalami kesesakan jalan raya.
Disebabkan itu dia membuat keputusan untuk naik ke rumah dan meletakkan barang keperluan penggambaran sebelum dia dan Aliff menunggu, namun tidak lama kemudian, pintu rumahnya diketuk.
Bagaimanapun, dia berasa takut untuk membuka pintu apabila ada individu yang mengetuk pintu rumahnya atas faktor keselamatan.
“Walaupun kakak saya datang atau apa, saya mengakui kekhilafan saya di sisi Islam, kerana berada dalam situasi itu yang mana sekali gus menimbulkan syak wasangka serta fitnah.
“Saya juga ingin menegaskan bahawa saya dan Aliff hanyalah kawan biasa dan bekerjasama dalam drama yang sedang kami bintangi,” ujarnya.
Ruhainies turut menyatakan dia bersedia untuk berbincang dengan Bella Astillah iaitu isteri Aliff kerana menyayangi hubungan persahabatan mereka.
Dalam kenyataan itu, Ruhainies juga tampil memohon maaf kerana lambat memberi kenyataan susulan sibuk dengan komitmen kerja.
“Saya juga ingin memohon kerana membiarkan perkara ini berlarutan tanpa kenyataan dan menyebabkan pihak tidak bertanggungjawab memanipulasikan pelbagai fakta yang tidak benar dan tidak tepat.
“Saya sayangkan persahabatan saya dengan Bella dan saya berharap agar dia dan Aliff tidak akan berpisah. Saya juga bersedia untuk berbincang dengan Bella apabila dia sudah bersedia,” katanya.
Tambah Ruhainies, dia juga berterima kasih kepada pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang menjalankan siasatan dengan telus sekali gus mengesahkan tiada istilah tangakapan basah dibuat.
“Siasatan telah dijalankan oleh pihak Jawi (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) dan saya berikan kepercayaan penuh terhadap mereka.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada pihak JAWI di atas kerjasama, penjagaan penuh yang diberikan kepada saya semasa kejadian tersebut berlaku, dan siasatan telus yang telah dibuat oleh pihak JAWI.
“Saya tidak ingin dijadikan bahan provokasi malah hanya ingin menjernihkan keadaan kami bertiga,” katanya menerusi kenyataan di Instagram.
Pada 9 Mac lalu, Aliff ditangkap khalwat bersama pelakon, Ruhainies oleh Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur.
Kemudian pada 13 Mac, Bella yang hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memfailkan tuntutan cerai terhadap suami, Aliff Aziz atau Mohamad Aliff Aziz.
Untuk info, Bella dan Aliff berkahwin pada 9 September 2016, namun perpisah pada 16 Mei 2019.
Mereka kemudian rujuk semula dalam tempoh edah dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna.
Baca juga: