Statistik angka kematian kemalangan jalan raya disiarkan setiap hari bermula 15 Mac

Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan menyiarkan maklumat statistik harian jumlah kes dan kematian akibat kemalangan jalan raya.

Menurut Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, langkah tersebut diambil setelah mendapat kata sepakat dalam mesyuarat jawatan kuasa Kabinet mengenai kesesakan dan keselamatan jalan raya.

Dalam pada itu, Azman berkata, setiap hari statistik kemalangan jalan raya dan kematian akan dikeluarkan secara ‘real time’ dengan mengambil data yang berlaku pada hari sebelumnya.

“Penyiaran berbentuk info grafik akan dimuat naik di laman sosial rasmi JSPT seperti di platform Facebook, Instagram dan X bermula Jumaat 15 Mac dan masa dikeluarkan pada sebelum atau pukul 2 petang.

“Penyiaran data statistik kepada umum ini sebagai langkah meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya dan orang ramai betapa seriusnya kes kemalangan setiap hari,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, beliau berkata, PDRM menyeru kepada semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mengikut peraturan yang telah ditetapkan dan memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi.

Jelasnya, kerjasama daripada orang ramai diharap dapat meningkatkan lagi kesedaran terhadap kepentingan menjaga keselamatan sekali gus mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Untuk info, jumlah kemalangan yang direkodkan pada Khamis di seluruh negara sebanyak 1,999 kes membabitkan 12 kematian.

Baca juga: