KPDN lancar projek MySaveFood Edisi 2024 Peringkat Kebangsaan

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melancarkan Malaysia Save Food (MySaveFood) Ramadan 2024 Peringkat Kebangsaan di Tapak Bazar Ramadan Jalan Raja Alang, Kampong Bharu, Kuala Lumpur pada Isnin.

Projek ini merupakan lanjutan daripada MySaveFood 2023 hasil kerjasama Gerakan Pengguna Siswa (GPS) dan Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia yang memerlukan penglibatan para peniaga di bazar Ramadan.

Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh berkata, program ini bertujuan untuk membudayakan satu sistem pengurusan lebihan makanan yang lebih efektif di bazar Ramadan di samping menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu mewujudkan Zero Hunger.

“Program ini beroperasi dengan pengumpulan makanan dan minuman yang tidak terjual oleh peniaga bazar oleh sukarelawan GPS dan Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia untuk disalurkan kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang terlibat.

“Seramai 2,700 sukarelawan dan 75 bazar di 11 negeri dan satu di Wilayah Persekutuan terlibat dengan projek MySaveFood ini di samping GPS daripada 35 universiti awam dan swasta,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Fuziah mewakili KPDN turut menyeru masyarakat termasuk peniaga di bazar untuk turut serta dalam projek ini untuk membendung pembaziran makanan dan dapat menyalurkan kepada yang memerlukan.

Untuk rekod, sebanyak 25 tan makanan yang dianggarkan bernilai RM281,429.01 telah berjaya diselamatkan melalui projek MySaveFood yang diadakan pada tahun lalu.

KPDN turut menyatakan usaha sebegini akan diteruskan hasil kerjasama dengan badan yang berkaitan untuk memastikan aspirasi Rahmah Madani dapat dimanfaatkan oleh lebih ramai lagi dalam masyarakat.

Baca juga:

https://malaysiabangkit.com/2024/03/18/lagi-banyak-menulis-lagi-banyak-salah-faham-norman-hakim-minta-abby-abadi-berhenti-kongsi-hal-keluarga-kepada-umum/

Anda Mungkin Berminat