Dua maut dalam dua kemalangan berasingan di Kluang, Johor pada Rabu yang melibatkan sebuah kereta dan motosikal sementara satu kejadian lagi membabitkan kemalangan sebuah motosikal.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan pertama berlaku pada pukul 8.30 pagi di Kilometer 59.5, Jalan Yong Peng, Kluang yang melibatkan sebuah motosikal dan kereta.
“Kemalangan berlaku apabila sebuah kereta yang dipandu wanita warga tempatan berusia awal 50-an telah keluar dari simpang dan melanggar motosikal yang ditunggang seorang wanita warga tempatan berumur 20-an.
“Penunggang motosikal yang mengalami cedera parah pada bahagian kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Bahrin turut menambah, kemalangan maut yang berasingan melibatkan seorang penunggang motosikal wanita berusia pertengahan 60-an yang terjatuh sendiri dari motosikal yang ditunggangnya pada pukul 10 pagi di Jalan Delima 1, Kluang.
“Tiada kecederaan luaran yang ada pada badan mangsa dan bedah siasat akan dijalankan di Jabatan Forensik, Hospital Ence’ Besar Hajjah Khalsom untuk mengenal pasti punca kematian,” ujarnya.
Kedua-dua kes kemalangan disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis menasihat orang ramai terutamanya pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati di jalan raya.
Baca juga: