Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan tahniah kepada Prabowo Subianto yang memenangi Pemilihan Umum (Pemilu) sekali gus dipilih sebagai Presiden Indonesia selepas keputusan rasmi diumumkan pada Rabu.
Anwar menyatakan ucapan tersebut amat bermakna kerana ia melambangkan nilai persahabatan antara Malaysia dan Indonesia yang amat istimewa sebagai negara jiran dan serumpun.
“Selamat maju jaya dan saya menyatakan keyakinan bahawa Bapak Prabowo pasti dapat menggalas mandat yang diberikan dengan cemerlang demi kemajuan dan kemakmuran Indonesia yang berterusan,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, kedua-dua pemimpin berkenaan nekad memperkukuh hubungan dua hala merangkumi pelbagai aspek dan berikrar untuk bekerjasama rapat terutamanya dalam ruang lingkup ASEAN.
Terdahulu, Komisi Pemilihan Umum (KPU) telah mengumumkan kemenangan Prabowo dalam Pemilu 2024 pada 14 Februari lalu dengan perolehan undi majoriti sebanyak 58.58 peratus.
Kemenangan Prabowo itu secara langsung menyaksikan anak kepada mantan Presiden Indonesia, Joko Widodo, Gibran Rakabuming Raka dilantik sebagai Naib Presiden kepada Indonesia.
Dalam ucapan pertamanya sebagai seorang Presiden, Prabowo mengucapkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah menyokongnya dan Gibran di samping mengucapkan penghargaan kepada Joko Widodo.
“Saya ingin menyampaikan penghargaan kepada Presiden Joko Widodo. Dengan semangat kenegaraannya, beliau telah memberi contoh perdamaian yang besar,” katanya lapor media antarabangsa, CNBC Indonesia.
Baca juga: