Filem komedi Agak Laen terbitan negara sebarang berjaya meraih sekitar 9 juta penonton menerusi tayangan di 53 pawagam selepas mula ditayangkan dua bulan lalu.
Angka tersebut dikongsikan oleh studio produksi, Imajinari di Instagram dengan mengatakan angka penonton sebanyak 9,006,211.
“Sampai ke-53 tayangan, 9,006,211 penonton sudah menonton filem Agak Laen di pawagam,” katanya.
Menurut CNN Indonesia, naskhah tersebut diangkat sebagai filem komedi Indonesia paling laris sehingga berjaya menewaskan filem Warkop DKI Reborn: Jangkrik Boss! Part 1 dengan catatan penonton sebanyak 6,868,616.
Selain itu filem tersebut berjaya memintas kejayaan naskhah KKN di Desa Penari yang tular ketika 2022 apabila berjaya meraih 1.054 juta penonton di Indonesia.
Meskipun berjaya mencatat kejayaan, namun filem tersebut mengambil masa sekitar tiga minggu untuk mencuri perhatian penonton.
Tidak dinafikan tempohnya agak lama, namun penantian itu nyata berbaloi dan berhasil lebih-lebih lagi apabila mereka berjaya mencuri perhatian peminat layar perak.
Filem arahan Muhadkly Acho yang dibintangi oleh Bene Dion, Oki Rengga, Indra Jegel, Boris Bokir dan Tissa Biani itu menceritakan tentang empat sekawan yang berhasrat untuk memiliki sebuah rumah hantu di acara pesta.
Kesemuanya berusaha untuk menjadikan tempat tersebut popular dan menarik ramai pengunjung kerana bimbang akan kehilangan kerja.
Filem dengan durasi 119 minit itu mula ditayangkan pada 1 Februari di Indonesia, 29 Februari di Malaysia dan Brunei sementara 14 Mac di Singapura.
Baca juga: