Kerajaan tak campur tangan, beri laluan penuh polis siasat isu stoking tertera kalimah Allah

Sebarang proses berkaitan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah oleh KK Mart diserahkan siasatan penuh terhadap pihak polis tanpa campur tangan kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laluan penuh diberikan kepada polis bagi menjalankan siasatan.

Beliau juga menyifatkan isu itu bukanlah boleh diselesaikan melalui sebarang tindakan oleh gerombolan berasingan.

“Kita serah pada siasatan profesional, namun pada masa sama kerajaan tetap berpendirian bahawa tiada tolak ansur terhadap perbuatan sedemikian terutamanya melibatkan agama Islam, agama Persekutuan di negara ini.

“Namun bukan agama Islam sahaja, (juga) termasuklah menghina mana-mana kaum dan agama lain, ia tiada tolak ansur. Kita nak selamatkan negara dan perlu tindakan tegas bagi menentukan tidak berlaku mana-mana perlakuan (seperti itu) lagi,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam ucapannya sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-217 di Pusat Latihan Polis, Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalannya Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Sebelum ini, media melaporkan berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah pada Rabu lalu di KK Super Mart cawangan Bandar Sunway di Petaling Jaya.

Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan perpaduan.

Kes juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat