Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil pendekatan serius terhadap kumpulan pendidik yang terlibat dengan aktiviti salah laku seksual seperti didakwa menerusi laporan media baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan, KPM memberitahu, kes tersebut sedang dalam siasatan dan pemerhatian kementerian.
Perkara itu bertujuan bagi mengenal pasti langkah yang boleh diambil sesuai dengan garis panduan sedia ada.
“KPM turut bersedia memberi kerjasama penuh kepada siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.
“Tiada tolak ansur terhadap kesalahan seksual di institusi pendidikan KPM. Justeru, semua pihak digesa untuk melaporkan kes jenayah seksual supaya tindakan tegas daapt diambil.
“Institusi pendidikan bawah KPM diminta untuk memathui Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Seksual yang sedang berkuatkuasa bertujuan untuk memelihara keselamatan dan kesejahteraan pelajar,” jelasnya.
Terdahulu, memetik Berita Harian, seorang guru wanita dipercayai berstatus isteri orang dan memiliki lima cahaya mata dikatakan menjalin hubungan cinta dengan pelajar lelaki berusia 17 tahun.
Kata Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff, polis menerima laporan pada 12 Disember dan mendakwa suspek berusia 37 tahun mencabul mangsa, ketika mengulang kaji bersama guru terbabit di perpustakaan sekolah.
Katanya, laporan dibuat pada 10.30 malam oleh ibu mangsa berusia 46 tahun yang mendakwa terdapat kesan kemerahan pada leher anak lelakinya, selepas mangsa pulang dari ulang kaji Matematik bersama suspek.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku pada 12 Disember lalu kira-kira jam 4.50 petang apabila mangsa yang sepatutnya pulang ke rumah sebaliknya masih bersama suspek di perpustakaan,” katanya.
Wan Kamarul berkata, polis akan melengkapkan siasatan sebelum dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak lebih 10 tahun dan sebatan.
Baca juga: