Lelaki patah kaki kanan selepas terjatuh ketika kejar peragut

Tular di media sosial sebuah rakaman insiden ragut yang berlaku di Bandar Sri Menjalara, Kuala Lumpur, pada Ahad.

Bagaimanapun orang awam diingatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat tidak benar berkenaan insiden terbabit.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya telah mengesan sebaran klip video berkenaan kejadian ragut rantai leher melibatkan seorang wanita warga tempatan berumur 23 tahun.

Katanya, polis juga menerima satu laporan dan siasatan mendapati pengadu bersama teman lelakinya sedang berjalan di tepi kaki lima ketika kejadian berlaku sebelum diragut oleh seorang penunggang motosikal.

“Suspek dengan pantas telah menarik rantai leher milik pengadu, menyebabkan teman lelaki pengadu bertindak mengejar peragut tersebut.

“Teman lelaki pengadu berjaya membonceng di belakang motosikal suspek, namun suspek bertindak memecut motosikalnya sehingga teman lelaki pengadu terjatuh dan terhentak di bahagian kepala serta patah kaki kanan.

“Mangsa telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad Sukarno berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera semasa melakukan rompakan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap individu-individu yang melanggar undang-undang.

“Justeru itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat terhadap insiden ini boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul 03-4048 2222,” katanya lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat