Lawatan rasmi ke Australia dan Jerman jana potensi jualan eksport produk Malaysia – PM

Lawatan Perdana Menteri ke Australia dan Jerman memberikan impak positif dengan potensi pelaburan yang dijana sebanyak RM24.5 bilion selain ia juga menjana potensi jualan eksport produk Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lawatan ke Australia berjaya menjana potensi pelaburan sebanyak RM24.5 bilion dan antara syarikat Australia yang telah menyatakan komitmen pelaburan termasuklah AirTrunk, NextDC, LaTrobe Magnesium, Kumpulan Arnott’s, dan Cochlear Ltd. 

“Lawatan rasmi ke Australia juga telah menjana potensi jualan eksport produk Malaysia ke Australia sebanyak RM962.1 juta, bagi barangan kayu, baja, makanan dan minuman serta komponen elektrik,” jelas Anwar di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab soalan daripada Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menyatakan, hasil lawatan rasmi ke Jerman sebelum ini secara keseluruhannya telah menjana potensi pelaburan berjumlah RM45.4 bilion, yang meliputi industri tenaga dan pelbagai industri pembuatan termasuk semikonduktor, aeroangkasa, produk kimia, peranti perubatan dan sektor automotif. 

“Antara syarikat-syarikat Jerman yang telah memberi komitmen untuk melabur di Malaysia termasuk Siemens Energy, Infineon Technologies, Airbus, B-Braun, BMW, Nexperia dan Delo Chemical.

“Dari segi potensi eksport pula, potensi pembelian tambahan yang diperolehi hasil lawatan ke Jerman adalah berjumlah RM1.4 bilion daripada syarikat airbus. 

“Ini memberi suntikan yang memberangsangkan kepada jualan eksport produk dan perkhidmatan Malaysia ke Jerman khususnya dalam sektor aeroangkasa bagi tempoh lima tahun akan datang,” jelas beliau.

Tambah Anwar, janaan potensi pelaburan dan perdagangan hasil lawatan rasmi ke Australia dan Jerman, membuktikan keyakinan yang berterusan dalam kalangan pelabur global terhadap hala tuju ekonomi Malaysia dan memberi suntikan semangat yang tinggi kepada Kerajaan Malaysia.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat