Hati-hati cuaca panas, 28 kes penyakit berkaitan haba dilaporkan KKM

Terdapat 28 kes penyakit berkaitan haba dilaporkan di lapan negeri yang terkesan dengan cuaca panas yang bakal berlarutan sehingga April depan lapor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menerusi kenyataan, KKM memberitahu, terdapat lapan negeri yang terkesan ialah Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Sabah, Perlis, Johor dan Pahang.

Jelasnya, berlaku pecahan kes berkenaan terbahagi kepada 19 kes kelesuan haba dan sembilan kes strok haba.

“Penyakit berkaitan haba tersebut terbahagi kepada individu dalam golongan usia 20 hingga 59 tahun seramai 23 orang dan lima orang berumur antara 13 hingga 19 tahun.

“Satu kematian turut direkodkan berpunca daripada strok haba di Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh, Pahang melibatkan seorang lelaki berusia 22 tahun pada 2 Februari lalu,” katanya.

Selain itu, terdapat satu kes yang berada dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Port Dickson melibatkan seorang lelaki berusia 24 tahun yang masih berada dalam keadaan tidak stabil.

Di samping itu, baki kes-kes yang lain telah mendapatkan rawatan dan sembuh daripada penyakit berkaitan haba yang dihidap oleh mereka.

KKM menasihatkan orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga memastikan tahap hidrasi yang mencukup dan mengurangkan aktiviti fizikal yang lasak terutamanya pada musim cuaca panas kini.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan kenyataan pada Isnin mengenai status cuaca panas yang melanda termasuk Perlis yang mengalami Gelombang Haba manakala 10 negeri lain mengalami cuaca panas pada Tahap 1 (suhu maksimum melebihi 35 hingga 37 darjah Celcius).

10 negeri yang mengalami cuaca panas Tahap 1 termasuk Kedah, Perak, Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sepang.

Baca juga: