Wanita parti Keadilan Rakyat (PKR) menyambut baik resolusi gencatan senjata serta-merta yang disepakati oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) pada Isnin.
Ketua Wanita Keadilan, Fadhlina Sidek berkata, penerimaan resolusi ini menyaksikan sikap dan pendirian majoriti masyarakat dunia yang menginginkan keadilan ditegakkan dan kezaliman dihentikan terhadap penduduk Gaza dan Palestin.
Fadhlina turut menegaskan bahawa bantuan keperluan asas perlu disalurkan ke Gaza secepat mungkin untuk membantu mereka yang sangat memerlukan pada masa kini.
“Akses dan bantuan kemanusiaan merangkumi bantuan makanan dan air bersih, serta kelengkapan peralatan dan keperluan perubatan perlu segera disampaikan kepada jutaan warga Gaza yang memerlukan,” katanya menerusi kenyataan.
Fadhlina juga menekankan bahawa pemimpin Israel perlu dibawa ke muka keadilan kerana memaparkan tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan terang-terangan menunjukkan pencabulan undang-undang antarabangsa sepanjang konflik tersebut bermula.
Dalam pada itu, beliau turut menyokong penghantaran kumpulan tentera pengamanan ke Gaza untuk menjaga keselamatan warga Palestin di sana.
“Wanita Keadilan juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya tampuk pimpina yang diteraju oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyuarakan pendirian konsisten dalam menegaskan sikap berhubung isu Palestin di pentas antarabangsa.
“Kami menyeru seluruh warga Malaysia dan komuniti global untuk terus bersolidariti untuk Palestin dan tidak putus berdoa,” ujarnya.
Terdahulu, resolusi gencatan senjata telah diusulkan bersama oleh 10 negara anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB iaitu Algeria, Guyana, Ecuador, Jepun, Malta, Mozambique, Sierra Leone, Slovenia, Korea Selatan, dan Switzerland.
Gencatan senjata kali ini berjaya mencapai kesepakatan dan mesti segera dilaksanakan setelah tiga kali usul gencatan senjata yang diveto oleh Amerika Syarikat sebelum ini gagal dilakukan.
Baca juga: