Sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kluang dan Balai Polis Paloh telah berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 21 hingga 44 tahun selepas disyaki terlibat dalam satu kes kecurian di Taman Kota, Paloh, Johor pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Bahrin Mohd Noh berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 10.30 pagi itu, polis berjaya merampas beberapa barangan seperti sehelai kemeja-T warna merah jambu jenama Polo Club, sebuah telefon bimbit jenis Redmi warna putih dan biru, sekeping kad pengenalan, sekeping lesen memandu kelas B2, sekeping kas ATM Bank Simpanan Nasional (BSN), sekeping kad ATM United Overseas Bank (UOB) dan sebuah telefon bimbit jenis samsung warna emas.
“Tangkapan pertama mempunyai tiga rekod jenayah, tangkapan kedua tiada rekod jenayah dan tangkapan ketiga mempunyai rekod narkotik.
“Saringan ujian air kencing tangkapan pertama positif dadah jenis methamphetamine manakala saringan ujian air kencing tangkapan kedua dan ketiga adalah negatif.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda,” katanya menerusi satu kenyataan.
Tambah Bahrin, kesemua suspek telah direman selama empat hari bermula 28 Mac.
Polis juga menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi IPD di talian 07-7784 222 atau 07-776 6822.
Baca juga: