KPKT berjaya pulihkan 10,560 unit perumahan terbengkalai

Sebanyak 10,560 unit perumahan swasta berjaya dipulihkan bagi tempoh Januari dan Februari 2024 yang meliputi 88 projek melalui mesyuarat Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) Bil. 2 Tahun 2024.

Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, projek pemulihan tersebut berjaya dipulihkan dengan nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM8.23 bilion.

“Pecahan kepada projek ini termasuk 81 projek yang berjaya mendapat Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan, lima projek yang berstatus sakit kembali menjadi lancar dan dua projek terbengkalai berjaya dipulihkan.

“Dua projek yang berjaya diselamatkan ialah projek di Taman Daya (Astana Square), Kepong, Selangor dan Perpaduan Heights Fasa 1 dan 2, Kuala Pilah, Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, TFST turut mengeluarkan statistik sebanyak 230 projek lewat dan 462 projek sakit manakala 115 projek disahkan sebagai projek terbengkalai yang membawa kepada nilai GDV sebanyak RM201.75 bilion.

TFST juga telah mengadakan lawatan di empat tapak projek perumahan swasta lewat dan sakit di Shah Alam, Selangor; Langkap, Perak dan dua projek di Seberang Perai, Pulau Pinang.

“Hasil libat urus terus diadakan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ketika lawatan tersebut untuk mencapai kata sepakat dan penyelesaian terhadap isu pembangunan projek yang berbangkit itu.

“Kemudian, pemaju akan mengambil tindakan untuk memenuhi syarat penyiapan projek berkenaan,” tambahnya.

Aiman turut berkara TFST akan terus berusaha dan bergiat aktif bagi memastikan unjuran projek perumahan swasta lewat, sakit dan terbengkalai untuk terus dipulihkan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat