Jejambat dari persimpangan Bukit Setongkol ke Kemunting di Jalan Persekutuan (FT421) Jalan Putra, Pahang dibuka pada Isnin untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas yang dijangkan bakal terjadi sepanjang musim perayaan di kawasan berkenaan.
Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kerajaan Negeri Pahang, mereka merasakan pembukaan jejambat ini perlu disegerakan untuk memudahkan perjalanan pulang rakyat, khususnya rakyat Pahang.
Projek jejambat ini merupakan skop kerja tambahan bagi menghubungkan bandar Kuantan ke bandar Putra, Tanjung Lumpur dengan kos projek yang bernilai RM47 juta.
Ia merangkumi pembinaan Jalan Berkembar 4 Lorong dari Persimpangan Bukit Setongkol ke Kemunting sepanjang 650 meter, merangkumi jejambat baharu sepanjang 280 meter merentasi Jalan Persekutuan, Jalan Kuantan-Gambang (FT02).
“Projek ini dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan dan dilaksanakan oleh KKR melalui Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Pembinaan jejambat ini juga merupakan kesinambungan daripada projek pembinaan Jambatan Putra yang telah dibuka secara rasmi pada 21 Februari 2021,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berharap agar pembukaan jejambat ini nanti akan memudahkan orang awam, khususnya penduduk sekitar.
Baca juga: