Kes jenayah komersial naik 14 peratus, catat lebih RM7 juta kerugian di Johor

Sebanyak 348 kes jenayah komersial dicatat pada Mac tahun ini di Johor mempamerkan peningkatan sebanyak 14 peratus berbanding 306 kes direkodkan pada bulan sama tahun lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar S. Muthuvelu berkata, kes penipuan merupakan kes tertinggi yang direkodkan iaitu sebanyak 292 kes atau 84 peratus daripada keseluruhan kes jenayah komersial di negeri berkenaan.

“Kes penipuan tersebut meliputi 61 kes belian atas talian, 53 kes penyamaran talian atau phone scam, 45 kes pinjaman tak wujud, 41 kes pelaburan tak wujud, 26 kes tawaran kerja dan 66 kes penipuan yang lain.

“Kes penipuan tersebut merekodkan jumlah kerugian tertinggi iaitu sebanyak RM7,618,571,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Berdasarkan keseluruhan laporan kes jenayah komersial, kerugian yang dicatatkan bernilai RM8,888,088 berbanding RM8,628,133 pada tahun lalu, yang menunjukkan peningkatan sebanyak 3 peratus.

M. Kumar turut menegaskan bahawa pihak Polis Johor akan terus menjalankan kempen kesedaran jenayah komersial agar masyarakat lebih cakna dan mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat