Polis rampas ganja bernilai RM173,600

Polis merampas 56 kilogram (kg) ganja bernilai RM173,600 di dalam sebuah kereta yang terbabas di Ladang Harum Manis di Bukit Chabang, Padang Besar, Perlis pada Khamis lalu.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, dadah itu ditemui selepas anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan operasi bagi mengesan satu kegiatan mencurigakan kira-kira pukul 7.30 pagi.

“Maklumat berdasarkan pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) mengesan dua suspek sedang menyimpan barangan yang dicampak dari negara jiran di laluan pagar keselamatan sebelum mereka melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Anggota PGA mengejar mereka sehingga ke kawasan Bukit Chabang sejauh kira-kira 10 kilometer sebelum suspek berjaya meloloskan diri,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kira-kira pukul 8.30 pagi, unit kereta peronda (MPV) menerima maklumat terdapat sebuah kereta mencurigakan di kawasan ladang harumanis di Bukit Chabang daripada orang awam.

“Anggota MPV digerakkan ke lokasi dan menemui sebuah kereta jenis Honda City berwarna biru telah terbabas di kawasan tersebut.

“Hasil pemeriksaan menemui tiga guni yang di dalamnya mengandungi 56 ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja,” ujarnya.

Tambahnya, polis bertindak merampas kesemua barang kes tersebut yang dianggarkan bernilai RM173,600 dan mampu digunakan oleh 280,000 penagih dadah.

“Semakan mendapati kereta tersebut adalah sama dengan kenderaan yang melarikan diri daripada pasukan PGA dari kawasan laluan pagar keselamatan di Padang Besar.

“Siasatan awal mendapati dua suspek terbabit dipercayai pengedar tempatan dan menggunakan kereta sewa untuk menjalankan kegiatan mengedar dadah ke selatan Semenanjung Malaysia,” jelasnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dua suspek yang meloloskan diri itu akan terus diburu.

Baca juga: