Penjawat awam yang akan menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri dan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) diingatkan supaya tidak terpedaya dengan sindiket penipuan dalam talian.
Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil memberi ingatan itu susulan tidak mahu ada pihak tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan atas khabar baik untuk rakyat diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin.
“Tolong berhati-hati dan jangan jadi mangsa penipuan (scammer). Kalau kita terima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali, semak dulu.
“Kalau terima mesej daripada orang yang kononnya kawan kita, semak dulu dan kalau dapat e-mel yang mengatakan klik pautan di sini, atau muat turun aplikasi, tolonglah jangan klik e-mel yang tidak dikenali,” katanya.
Fahmi yang juga jurucakap bagi Kerajaan Perpaduan berkata begitu kepada pemberita selepas menyaksikan sesi latihan skuad KL City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.
Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak dan pesara kerajaan masing-masing bakal menerima BKK Aidilfitri sebanyak RM500 dan RM250 pada Jumaat ini.
Selain itu, seramai 8.4 juta rakyat bakal menerima bayaran STR Fasa 2 melibatkan bayaran RM100 sehingga RM650 yang akan dikreditkan mulai Rabu ini.