Maritim Malaysia tingkat operasi tangani isu keselamatan negara menerusi Op Khas Pagar Laut

Maritim Malaysia telah melaksanakan sebanyak 74 tangkapan dengan nilai rampasan berjumlah lebih lima juta ringgit sempena ‘Op Khas Pagar Laut’ yang berkuatkuasa di seluruh negara sejak 15 hari lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Maritim Malaysia tegas dalam mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan.

“Sebagai contoh apabila melibatkan isu pendatang asing tanpa izin (PATI), pencerobohan nelayan asing, penyeludupan masuk dan keluar barangan kontraban serta penyeludupan barang-barang kawalan ke negara jiran.

“Jika sekiranya perkara ini tidak ditangani, negara akan berhadapan dengan pelbagai isu serta turut mengalami kerugian jutaan ringgit akibat tindakan individu atau kumpulan yang mensasarkan musim perayaan bagi melakukan aktiviti jenayah dan pelanggaran undang-undang di laut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan Program Lawatan Tinjauan Op Khas Pagar Laut di atas kapal KM Tun Fatimah di kawasan perairan Selangor, baru-baru ini.

Selain itu, turut hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ruji Ubi dan Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin.

Tambah Saifuddin, kejayaan operasi Maritim Malaysia adalah berdasarkan kemampuan aset agensi itu dalam melaksanakan operasi yang dijalankan.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengambil tindakan dengan menambah aset-aset baharu dalam meningkatkan kawalan keselamatan dan Carilamat Maritim di Zon Maritim Malaysia.

“Antaranya empat buah helikopter medium lift, sebuah kapal Multi Purpose Mission Ship (MPMS) serta baki dua buah kapal OPV. Selain itu, Maritim Malaysia bakal menerima aset baharu iaitu dua buah New Generation Patrol Craft (NGPC), dua buah bot pemintas Pasukan Tindakan Khas (PTK) dan lima buah bot pemintas Rigid Hull Fenders Boat (RHFB).

“Malah, Maritim Malaysia juga bakal membawa pulang sebuah Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) dari US Coast Guard pada hujung tahun ini,” katanya lagi.

Terdahulu Saifuddin turut berkata, sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam menjaga ketenteraman awam, setiap agensi di bawah KDN telah diarahkan meningkatkan pengawasan serta pemantauan di seluruh negara termasuk di kawasan sempadan negara agar aktiviti jenayah dapat dibendung dengan sewajarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat