PM harap keberkatan bulan Ramadan terus dimanfaatkan umat Islam

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengharapkan agar keberkatan dalam bulan Ramadan yang mulia ini terus dimanfaatkan oleh umat Islam terutamanya apabila 10 malam terakhir bulan ini sudah kunjung tiba.

“Moga keberkatan bulan mulia ini terus dimanfaatkan dengan memperbanyak bacaan Al-Quran kerana amalan ini bakal menjadi syafaat di hari akhirat selain diangkat martabat golongan yang membacanya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata demikian ketika menyertai Majlis Khatam Al-Quran peringkat Pejabat Perdana Menteri pada Isnin yang dihadiri 80 orang warga Pejabat Perdana Menteri.

Mereka yang menghadiri majlis tersebut telah berkumpul untuk mengkhatamkan bacaan Al-Quran sepanjang bulan Ramadan tahun ini secara beramai-ramai.

Anwar turut memuji ketenangan majlis berkenaan dan mengharapkan keberkatan dalam bulan Ramadan yang mulia ini terus dimanfaatkan oleh umat Islam.

“Majlis diadakan dalam penuh ketenangan dan kemerduan tatkala ayat-ayat al-Quran dibacakan,” ujarnya.

Turut hadir, Mudir Madrasah Nahdhah Hasanah, Melele Kedah, Syeikh Dr Mohd Jamel Sadaqi Datuk Mursyid Diraja Syeikh Tajuddin Al-Jarumi yang turut menyampaikan ceramah yang bertajuk ‘10 Akhir Ramadan, Keistimewaan dan Hikmah Dalam Membentuk Insan Madani’.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat