Pemain skuasy wanita negara, S Sivasangari dijangka naik dua lagi anak tangga dalam ranking dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) wanita.
Ini susulan kejayaannya meraih mata maksimum selepas menjuarai kejohanan Jelajah PSA Emas di Klasik London 2024 buat kali pertama pada Isnin.
Berdasarkan perkiraan dibuat ranking forecast Jelajah PSA, kejuaraan di London itu meletakkan Sivasangari ke kedudukan ke-11 dunia pada 15 April ini.
Kejayaan menewaskan Hania El Hammamy di Alexandra Palace London itu, menyaksikannya meraih 1,750 mata pada kejohanan Jelajah PSA Emas.
Malahan ranking forecast Jelajah PSA turut meletakkan nama Sivasangari ke kedudukan ke-10 dunia pada minggu berikutnya.
Dalam aksi final, Sivasangari yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh kejohanan, melakukan kejutan ketiga di London Classic 2024 apabila menewaskan El Hammamy 11-9, 5-11, 13-11, 12-14, 11-8 dalam tempoh 81 minit.
Sebelum itu, dia mengatasi pemain keempat dunia, Nele Gilis dari Belgium dan pemain nombor satu dunia, Nour El Sherbini dari Mesir di suku akhir.
Pemain berasal dari Sungai Petani, Kedah ternyata tidak melupakan mereka yang berada di sebalik kejayaannya, apabila segera menghubungi keluarga dan jurulatih, sejurus selepas menjulang trofi kejuaraan.
“Saya segera hubungi keluarga dan jurulatih, kerana merekalah saya memenangi kejohanan ini, dan perjalanan ini diluar jangkaan selepas apa yang terjadi kepada diri saya dua tahun lalu,” kata Sivasangari.
Sehingga ranking rasmi dikemaskini pada minggu ketiga April nanti, Sivasangari bakal memahat namanya sebagai pemain skuasy wanita ketiga Malaysia yang pernah berada dalam kelompok Top 10 dunia, selepas Datuk Nicol David (no 1) dan Low Wee Wern (no 5).
Menurutnya, kejuaraan sulung Jelajah PSA Emas itu tidak digambarkan dengan kata-kata namun dia berbangga dengan pembawaan dirinya dalam kejohanan ini di sepanjang minggu.
“Hania menjadi pesaing saya sejak remaja lagi… saya memegang mata akhir beberapa kali pada set keempat tapi gagal menamatkannya dan pada set kelima, saya cuba kekal fokus.
“Kemenangan ini sangat besar kerana kali terakhir saya bermain pada kejohanan Emas, saya tewas di suku akhir.
“Saya tidak dapat merangkul kejayaan ini tanpa jurulatih dan penaja, tanpa mereka saya tidak berada di sini sekarang,” ujarnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengucapkan tahniah kepada Sivasangari yang berjaya menjuarai kejohanan London Klasik.
“Saya juga dimaklumkan bahawa beliau menjadi pemain Malaysia pertama mara ke final kejohanan bertaraf emas dalam saingan Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) selepas kali terakhir dilakukan Datuk Nicol David pada 2015.
“Tahniah sekali lagi saya ucapkan, semoga kemenangan ini akan mendorong lebih banyak kejayaan di masa akan datang,” katanya dalam hantaran Facebook.
Baca juga: