Seorang ‘saksi kritikal’ bersedia untuk memfailkan afidavit bagi menyokong semakan kehakiman Najib Razak bagi mencabar kewujudan titah adendum (tambahan) oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 supaya bekasperdana menteri itu menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.
Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah semasa perbicaraan permohonan itu di Mahkamah Tinggi memaklumkan kepada Hakim Datuk Amarjeet Singh bahawa saksi berkenaan kini berada di Makkah untuk 10 hari terakhir Ramadan.
“Saya memohon penangguhan yang singkat kerana malangnya orang yang paling kritikal (saksi) kepada permohonan itu tidak menandatangani afidavit berkenaan kerana dia telah berlepas ke Mekah dan dijangka kembali selepas Aidilfitri.
“Affidavit ini adalah kritikal, walaupun di peringkat ini. Saya hanya memerlukan masa yang singkat, mungkin sehingga satu tarikh yang telah saya rundingkan dengan rakan saya ‘sebelah sana’ iaitu pada 17 April,” katanya memetik laporan BERNAMA,
Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili responden bagaimanapun tidak membantah terhadap perkara itu.
Selain tiu, hakim menolak permohonan peguam Abhilaash Subramaniam yang mewakili Majlis Peguam untuk mengikuti prosiding itu sebagai pemerhati, dengan alasan kebenaran belum lagi diberikan dan pada peringkat ini ia masih permohonan ex-parte.
Muhammad Shafee ketika ditemui pemberita selepas prosiding bagaimanapun enggan mendedahkan identiti saksi penting permohonan itu.
Terdahulu, bekas Ahli Parlimen Pekan itu memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan berkenaan di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin lalu menerusi Tetuan Shafee & Co.
Dalam notis permohonan itu, Najib memohon perintah mandamus mengarahkan sama ada semua responden atau seorang daripada mereka menjawab dan mengesahkan kewujudan titah tambahan bertarikh 29 Januari 2024.
Difahamkan, pemohon juga memohon perintah mandamus bahawa jika titah tambahan itu wujud, semua atau satu daripada responden mesti menguatkuasakannya serta merta dengan memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur, untuk menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan di rumah.
Baca juga: