Mekanisme terbaik perlaksanaan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk wartawan sambilan sedang diteliti.
Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, pihaknya mahu memastikan wartawan sambilan mahupun kontrak mencarum serta memperoleh manfaat daripada pertubuhan itu untuk menjamin keselamatan sosial pekerjaan mereka.
Justeru pihaknya akan mengadakan perbincangan tambahan dengan Perkeso bagi tujuan itu.
“Tugas pengamal media ini mencabar, memang terdapat keperluan terutama ‘stringer’ untuk mencarum dengan Perkeso… saya akan susuli dengan sedikit perbincangan tambahan untuk mendapatkan mekanisme yang terbaik,” katanya.
Fahmi berkata begitu kepada pemberita selepas menziarahi dan menyerahkan sumbangan Tabung Kasih@Hawana kepada beberapa bekas petugas media di Ampang, Selangor.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Nur-ul Afida Kamaludin; dan Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj.
Kementerian Komunikasi giat berusaha memastikan kebajikan golongan terlibat dalam bidang kewartawanan dan seni kreatif sentiasa terbela.
Sebelum ini beliau memaklumkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Perkeso akan tandatangani memorandum persefahaman pada 23 April ini untuk aspek keselamatan sosial dimasukkan dalam standard kontrak petugas pengambaran.
Inisiatif tersebit dijangka akan memanfaatkan hampir 5,000 seniman dan juga mereka yang terlibat dalam aktiviti penggambaran.