Penyelarasan di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar bagi atasi kesesakan pelawat sempena Aidilfitri

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor akan membuat penyelarasan di semua pintu masuk ke negeri Johor khususnya di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

Langkah tersebut dibuat bagi mengatasi kesesakan luar biasa yang dijangka berlaku sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tiba.

Penyelarasan terbabit bagi memastikan semua aliran trafik di pintu masuk berjalan lancar.

Menurut Pengarah Imigresen Negeri, Baharuddin Tahir, jumlah kemasukan pelawat untuk tiga hari iaitu sehari sebelum Hari Raya hingga Hari Raya Kedua di kedua-dua pintu masuk adalah seramai 357,265 orang pelawat.

“Pihak JIM Negeri Johor menganggarkan akan berlaku pertambahan pelawat yang akan masuk pada waktu yang sama pada tahun 2024.

“Pengaktifan Quick Response Team (QRT) yang ditubuhkan pada 6 Februari 2023 dan kini terdiri daripada pegawai-pegawai lantikan baru yang telah lapor diri pada Oktober 2023.

“Selain itu, seramai 12 pegawai QRT ditempatkan di Bangunan Sultan Iskandar dan 20 pegawai QRT di Kompleks Sultan Abu Bakar,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pengaktifan Laluan Kontra yang mula diperkenalkan di laluan Dewan Bas, iaitu Balai Ketibaan dan Pelepasan di BSI adalah mengikut keperluan dari semasa ke semasa akan membantu mengurangkan masa menunggu pelawat sebanyak 50 peratus.

“Dalam masa sama, penambahan kaunter kontra kepada 22 kaunter manual asal menjadikan builangan sebanyak 32 kaunter; daripada 6 kepada 20 kaunter Auto sekali gus jumlah menjadi 26 kaunter.

“Manakala, di KSAB pula, laluan kontra di zon kereta menjadi 24 kaunter di laluan keluar masuk mengikut kesesuaian aliran trafik dari semasa ke semasa serta 12 kaunter hybrid digunakan untuk laluan motosikal,” katanya lagi.

Justeru itu, JIM Negeri Johor berazam dan sentiasa siap siaga dalam memberikan perkhidmatan yang sehabis baik untuk orang ramai agar mendapatkan maklumat dan gambaran sebenar serta merancang perjalanan masing-masing.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat