Seorang Imam Masjid Aolia di daerah Panggang, Gunungkidul di Jogjakarta, Indonesia mendakwa dia telah menghubungi ‘Tuhan’ sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama-sama jemaah masjid itu pada Jumaat.
“Saya tidak menggunakan (cara) perhitungan. Saya telefon kepada Allah. Ya Allah, hari ini (Khamis, 4 April 2024) sudah 29 (Ramadan), bilakah 1 Syawal?,” kata imam Sholeh Pranolo seperti dilaporkan portal berita Suara.com.
Dia yang lebih dikenali dengan panggilan Mbah Benu kemudiannya telah diberitahu tarikh 1 Syawal jatuh pada Jumaat, 5 April 2024.
Menurut Suara.com lagi, berdasarkan apa yang telah dimaklumkan kepadanya, Mbah Benu membuat keputusan untuk menyambut 1 Syawal bersama sebahagian jemaahnya pada Jumaat, 5 April 2024.
Sebelum itu, jemaah Masjid Aolia dilaporkan sudah mula berpuasa pada Khamis, 7 Mac 2024.
Terdahulu, portal berita Detiknews melaporkan jemaah di daerah itu akan menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di rumah imam Masjid Aolia di Kabupaten Gunungkidul.
Sementara itu, Ketua Bidang Urusan Agama Islam, Pejabat Wilayah Kementerian Agama, Jauhar Mustofa berkata, pihaknya tidak dapat memaksa jemaah Masjid Aolia mengikut penentuan hari raya seperti diputuskan pihak berkuasa.
Difahamkan, kejadian itu bukan kali pertama berlaku, namun tahun ini sambutan Aidilfitri jauh lebih awal berbanding keputusan yang diputuskan pemerintah.
Baca juga: