2 anggota maritim cedera ditembak di perairan Kunak, Sabah

Dua anggota penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Lahad Datu cedera dalam kejadian berbalas tembakan di perairan Kunak, Sabah pada Ahad.

Kejadian pukul 8.40 pagi itu mengakibatkan Bintara Muda Maritim Zainal Abad Komel, 45, cedera di mata kiri, manakala seorang lagi kru bot, Laskar Kanan Maritim Prayrie De Cuella Jimin, 35, cedera di kedua belah tangan ketika sedang bergelut membalas tembakan dengan penjenayah.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dr Suzanna Razali Chan berkata, berdasarkan laporan awal, insiden berlaku apabila pasukan bot ronda APMM cuba menahan sebuah bot enjin sangkut untuk pemeriksaan Op Khas Pagar Laut.

Beliau berkata, tiga suspek yang berada di atas bot terbabit tiba-tiba melepaskan empat das tembakan ke arah Bot Banggi 48.

“Bot Banggi 48 cuba menghampiri sebuah bot enjin sangkut berwarna biru yang dinaiki suspek untuk tindakan pemeriksaan bagi di kedudukan 0.2 batu nautika timur laut Kampung Pangi, Kunak.

“Sebaik pasukan peronda cuba menghampiri, suspek bertindak melepaskan empat das tembakan bagi mengelak daripada anggota bot peronda Maritim Malaysia menghampiri mereka.

“Ketika kejadian berlaku pergelutan semasa berbalas tembakan sehingga menyebabkan kecederaan pada dua anggota Maritim tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Katanya lagi suspek terbabit kemudiannya berjaya melepaskan diri dengan membawa bot tersebut beredar dari lokasi kejadian.

Susulan itu, Maritim Malaysia telah menggerakkan Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat, pesawat udara dan Bahagian Perisikan Maritim serta pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) ke lokasi terbabit bagi menyiasat kes ini serta mengesan kesemua suspek terlibat.

Difahamkan, kedua-dua anggota Maritim Malaysia yang cedera telah dibawa ke Hospital Kunak untuk rawatan segera.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat