Syasya umum keluar daripada Dolla

Penyanyi berkumpulan, Dolla yang dianggotai oleh empat wanita kini bakal bergerak secara bertiga selepas salah seorang ahlinya, Syasya mengumumkan untuk mengundurkan diri dan membawa haluan sendiri. 

Berita pengunduran Syasya atau nama sebenarnya, Norsyasya Afiqah Shahrizal, 23, itu dimaklumkan menerusi kenyataan yang dimuat naik di Instagram pengurusan mereka, Universal Music Malaysia pada Isnin. 

“Kami Universal Music Malaysia ingin mengumumkan bahawa ahli kumpulan Dolla iaitu Syasya telah mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada kumpulan Dolla atas sebab peribadi.

“Walaupun kami berasa berat hati untuk menerima keputusan Syasya, pihak kami tetap menghormati pendirian beliau dan sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk Syasya,” katanya. 

Universal Music bagaimanapun tetap menyatakan sokongan kepada ahli lain iaitu Tebby, Angel dan Sabranzo. 

“Dalam meneruskan kerjaya seni untuk peminat di dalam dan luar negara, pihak kami telah pun membuat pelbagai perancangan untuk memastikan Dolla menempah nama di persada muzik Asia Tenggara, dan kami tetap akan meneruskan perancangan tersebut,” katanya. 

Untuk info, Dolla mula menggegarkan industri muzik tanah air pada 2020 dengan single, pertama, Dolla Make You Wanna. 

Mereka juga mewakili Malaysia dalam sebuah pertandingan nyanyian melibatkan pelbagai kumpulan vokal di China, Show It All yang kini sedang berlangsung. 

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat