Kemeriahan sambutan Hari raya Aidilfitri bertambah ceria apabila hari istimewa itu diraikan dengan lagu-lagu raya yang popular sepanjang zaman.
Kegembiraan dengan alunan lagu yang mendayu sekali gus menyemarakkan lagi suasana pagi raya dengan karya yang tidak pernah lekang dek zaman.
Berikut merupakan antara 5 lagu raya popular sepanjang zaman yang menjadi pilihan pendengar sejak dahulu hingga kini:
1. SUASANA HARI RAYA – ANUAR ZAIN & ELLINA
Lagu Suasana Hari Raya memang tidak asing lagi apabila menjelangnya hari lebaran sejak dilancarkan pada tahun 1984. Lagu itu menekankan tentang nilai kasih sayang apabila bersama dengan keluarga kita yang tercinta meraikan Lebaran.
Dalam masa sama, setiap bait lirik mempunyai 1,001 makna yang begitu mendalam apabila menyambut hari raya Aidilfitri bersama keluarga tersayang. Dendangan penyanyi Anuar Zain dan Ellina Razak walaupun masing-masing baru sahaja berumur 14 tahun cukup memberikan sentuhan sempurna.
2. DENDANG PERANTAU – P.RAMLEE
Lagu Dendang Perantau dilancarkan sekitar 1960 dengan hasil dendangan penyanyi tanah air tersohor iaitu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, meskipun sudah seberapa dekad yang lalu tetap menjadi pilihan halwa telinga para pendengar menjelang Hari raya yang istimewa.
Ia seolah-olah mengubat kerinduan yang dirasai oleh mereka yang berada jauh daripada pangkuan keluarga apabila menjelangnya Hari Raya.
3. MENJELANG HARI RAYA – DJ DAVE
Lagu yang bermula dengan nada yang rancak menjadikan pendengar lebih bersemangat untuk meraikan hari pertama Hari Raya.
Hampir satu dekad pelancaran lagu tersebut tetap menjadi pengiring yang sempurna semasa tiba musim raya.
Menjelang Hari Raya oleh DJ Dave menggambarkan ‘euforia’ dan persiapan masyarakat yang menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan meriah sekali.
4. BALIK KAMPUNG – DATUK SUDIRMAN ARSHAD
Menerusi melodi riang dan lirik yang diselubungi nostalgia, lagu Balik Kampung yang dinyanyikan oleh Datuk Sudirman Arshad dilancarkan pada tahun 1984, masih menjadi pilihan halwa telinga para pendengar.
Secara tidak langsung, lagu tersebut telah menjadi simbol semangat kembali ke tempat asal usul setiap kali menyambut Hari Raya Aidilfitri.
5. NAZAM LEBARAN – DATUK SITI NURHALIZA
Walaupun sudah dua dekad lamanya sejak dilancarkan, lagu tersebut antara lagu malar segar dalam kalangan pendengar dari dulu hingga kini.
Lagu Nazam Lebaran oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza adalah lagu yang meriah dan penuh makna, menceritakan kegembiraan umat Islam menyambut Hari Raya.
Bait lirik mengungkapkan rasa syukur atas kemenangan kerohanian setelah berpuasa selama sebulan dan menyambut lebaran bersama keluarga secara tidak langsung melodi yang merdu itu membawa pendengar untuk mensyukuri nikmat Allah SWT dan merayakan hari yang mulia.
Baca juga: