Sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lengkap sekiranya tiada hidangan atau juadah istimewa untuk disajikan sebagai santapan seisi keluarga.
Boleh dikatakan setiap negeri pasti mempunyai cara dan jenis hidangan tersendiri yang akan menjadi tumpuan tetamu ketika berkunjung.
Begitu juga dengan masyarakat Perlis yang menjadikan buah harum manis sebagai salah satu tumpuan utama untuk disajikan sempena Hari Raya Aidilfitri.
Menariknya sambutan hari raya di negeri itu pada kali ini, tanaman harum manis berbuah pada musim perayaan sekali gus memberi peluang untuk menjadikan ia sebagai juadah wajib untuk santapan hari raya.
Pengusaha Kebun Pelam Rosdi, Md Rosdi Hashim, 59, berkata, dia meluahkan rasa syukur dengan rezeki mangga harum manis yang mengeluarkan hasil pada Aidilfitri kali ini.
Jelas Rosdi, mangga harum manis yang berbuah setahun sekali itu semestinya membawa keuntungan berganda buat pengusaha kebun terutama di musim perayaan.
“Untuk hari raya kali ini, memang permintaan sangat tinggi dan keuntungan pun meningkat berbanding tahun lepas.
“Selalunya juadah yang orang akan hidangkan bersama harum manis ni, adalah pulut mangga harum manis,” katanya kepada Malaysia Bangkit.
Tambah Rosdi, keluasan kebun seluas 0.437 Hektar itu memberikan keuntungan yang lumayan dan permintaan penduduk setempat juga memuaskan.
“Kami selalu mendapat tempahan harum manis bukan sahaja dari kawasan penduduk setempat, tetapi orang di luar Perlis pun ada tempah untuk hari raya.
“Walaupun musim jatuh pada hari raya, tapi permintaan terhadap buah harum manis tetap tinggi sehinggakan mampu meraih keuntungan lebih berbanding tahun lepas,” jelasnya lagi.
Baca juga: