Selepas sebulan menahan lapar dan dahaga, pastinya kehadiran Syawal menjadi satu saat yang paling dinantikan, sementelah berpeluang untuk menikmati pelbagai jenis hidangan.
Bukan itu saja, Lebaran juga memberi kesempatan untuk bertemu dengan sanak-saudara dan pulang ke kampung halaman.
Dalam pada teruja menyambut hari raya, perlu diingat bulan Syawal bukan ‘tiket’ untuk membalas dendam dengan cara menikmati apa sahaja hidangan. Ini kerana dikhuatiri akan berdepan dengan ancaman pelbagai jenis penyakit.
Menurut Pakar Pemakanan Institut Farmakogenomiks Integratif (iPROMISE), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Madya Dr Norazmir Md Nor, berdasarkan situasi semasa hari ini, penting untuk masyarakat menjaga kesihatan masing-masing dengan tubuh badan kekal terhidrat.
“Pastikan minum banyak air sebelum dan semasa berkunjung ke rumah terbuka. Elakkan minuman berkafein kerana ia boleh menyebabkan dehidrasi.
Sementara itu, Dr Norazmir menjelaskan mengenai rendang yang bagi sesetengah orang adalah hidangan wajib pada musim perayaan, ia tinggi lemak tepu serta kalori selain pengambilan secara berlebihan boleh menyebabkan individu mengalami penambahan berat badan dan masalah jantung.
“Begitu juga dengan lemang. Walaupun ia hidangan yang lazat namun tinggi kandungan karbohidrat dan kalori sehingga boleh menyebabkan kenaikan gula dalam darah serta berat badan naik,” jelasnya lapor Bernama.
Selain itu, Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Madya Dr Norsham Juliana Nordin berkata, tabiat pemakanan semasa musim perayaan boleh meningkatkan risiko terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD).
Situasi Aidilfitri yang biasanya disambut sepanjang bulan Syawal dengan pelbagai jemputan untuk majlis makan-makan boleh meninggalkan kesan berpanjangan terhadap kesihatan kita.
“Contoh mudah adalah pengambilan gula tambahan. Bayangkan kita menziarahi lima buah rumah untuk berhari raya dan di setiap rumah kita akan minum minuman bergula, makan kuih raya yang pastinya tinggi kandungan gula dan pelbagai lagi juadah berbentuk manisan.
“Bagi individu yang sememangnya didiagnosis dengan penyakit kencing manis, kuatkan diri anda untuk tidak mengambil makanan atau minuman yang kita sedia maklum ditambah dengan gula tambahan,” ujarnya dalam laporan sama.
Oleh itu, setiap individu dinasihatkan ‘memilih makanan’ dengan tidak terus mengambil dengan kuantiti yang banyak di samping memberi ruang untuk diri merasa serba sedikit makanan yang ada.
MalaysiaBangkit ingin menyeru orang ramai menjadikan Aidilfitri kali ini detik terindah dengan kita kekal sihat dan jangan biarkan kemeriahan Aidilfitri dijadikan alasan penyebab kepada penyakit kronik yang berpanjangan.
Baca juga: