Lelaki ditahan dipercayai belasah isteri hingga maut

Polis menahan seorang lelaki berusia 57 tahun selepas selepas dipercayai memukul isterinya sehingga meninggal dunia di Kulim, Kedah pada 9 April lalu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, polis menerima laporan daripada pihak Hospital Kulim berhubung kematian seorang wanita 61 tahun pada pukul 10.43 malam.

Katanya, siasatan mendapati mangsa sebelum itu dihantar ke hospital kira-kira pukul 9 malam pada 8 April dari rumahnya di ladang BMR Batu Putih, Karangan sambil diberitahu bahawa dia telah terjatuh di bilik air.

“Setelah diteliti, si mati mengalami kecederaan pada kepala dan terdapat kesan lebam di muka dan keseluruhan badan.

“Hasil bedah siasat turut mengesahkan kecederaan kepala selain kesan lebam baharu dan lama dipercayai akibat keganasan rumahtangga,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, suspek direman selama enam hari sehingga 15 April bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Baca juga: