Avitan Shalom, lelaki warga Israel dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat atas dakwaan memiliki enam pistol dan 158 peluru bulan lalu, pada Mac lalu.
Lelaki yang memiliki pasport kewarganegaraan Perancis itu, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar.
“Saya faham tuduhan, tidak bersalah,” katanya ringkas.
Mengikut pertuduhan, Shalom, 38 didakwa memiliki enam senjata api dan peluru berkenaan pada 26 hingga 28 Mac lalu di Hotel Four Seasons, Kuala Lumpur.
Tertuduh menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat), yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.
Shalom dibawa masuk ke bilik mahkamah pada pukul 9.30 pagi dan dikawal ketat empat anggota polis memakai penutup muka.
Mengikut pertuduhan pertama, Avitan didakwa telah melakukan dagang enam ssnjata api iaitu Glock 19 USA 9x 10, Sig Sauer P3205P, Cougar 8000FT.
Selain itu ialah Glock 17 Gen4 Austria 9×19, N&P 9C Smith & Wesson Spring Field MA USA, dan Stoeger Cougar 8000F.
Bagi pertuduhan pertama itu, dia didakwa mengikut kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 [Akta 37] yang mana penjara tidak kurang daripada 30 tahun, dan tidak lebih 40 tahun dan disebat tidak kurang daripada enam kali.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki satu kotak Shell Shock NAS3 9mm, mengandungi lapan butir peluru, satu kotak Bullet Master Co. Ltd, mengandungi 50 butir peluru, satu kotak Bullet Master Co. Ltd, mengandungi 50 butir peluru dan satu kotak Bullet Master Co Ltd, mengandungi 50 butir peluru tanpa suatu lesen senjata atau permit senjata.
pertuduhan kedua itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 [Akta 206] dengan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun, atau dikenakan denda tidak melebihi RM30,000 atau kedua-duanya sekali.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan antara 26 Mac pukul 6.46 petang dan 28 Mac pukul 6 petang di bilik nombor 1107 di Hotel Four Seasons, No. 145, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P. Kunyalam manakala tertuduh diwakili peguam, Navinjit Singh.
Dalam pada itu, Mohamad Mustafa memberitahu mahkamah bahawa pihaknya tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh, manakala pihak pembelaan turut bersetuju dan tiada bantahan terhadap perkara itu.
Hakim menetapkan sebutan semula kes pada 21 Mei ini.
Baca juga: