Kerajaan jamin keselamatan jemaah haji dan umrah terpelihara di tengah konflik Iran- Israel

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi memastikan keselamatan jemaah haji dan umrah Malaysia terjamin berikutan berlakunya serangan balas tentera Iran terhadap Israel.

Menterinya berkata, pihak Tabung Haji masih meneruskan persiapan jemaah sempena Musim Haji 2024 seperti yang dirancang.

“Semua pihak diminta untuk terus bertenang serta sentiasa merujuk kepada pihak berkuasa dari semasa ke semasa untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sementara itu, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut bekerjasama dengan agensi Kerajaan antaranya Wisma Putra dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) susulan serangan itu.

Tambah beliau, kementeriannya juga akan terus memantau situasi terkini di kawasan negara Asia Barat selepas serangan balas Iran terhadap Israel.

“Serangan balas itu sudah tentu meningkatkan ketegangan yang sudah pun berlarutan sejak lebih 7 bulan lalu akibat kedegilan dan kekejaman rejim Zionis Israel terhadap penduduk Palestin yang tidak berdosa,” ujarnya.

Terdahulu, serangan Iran ke atas Israel itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas bangunan konsulat Iran di Damsyik, Syria pada 1 April lalu yang mengorbankan tujuh mangsa.

Iran melancarkan lebih 200 dron, peluru berpandu balistik ke Israel pada Sabtu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat