KPKM tidak kompromi dengan kartel padi, beras

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengambil langkah agresif untuk tidak melindungi mana-mana pihak yang terlibat sebagai kartel padi dan beras. 

Menteri, Datuk Seri Mohammad Sabu menegaskan, pihaknya juga tidak akan mencampuri sebarang urusan siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

“KPKM tiada halangan dan sentiasa bersedia memberikan sebarang maklumat kepada MyCC pada bila-bila masa diperlukan.

“Soalan ini saya sudah jawab beberapa kali pada media sebelum ini tapi mungkin mereka terlepas pandang.

“Semoga penjelasan ini dapat memberikan pencerahan pada semua,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Pada Januari lalu, KPKM menafikan kewujudan kartel atau mafia yang didakwa terbabit dalam penentuan harga beras dan benih padi.

Pihaknya telah mengeluarkan 39,000 lesen dalam usaha memastikan tiada kartel atau mafia memonopoli industri padi dan beras negara.

Lesen itu merangkumi Lesen Borong Beras, Lesen Eksport, Lesen Import, Lesen Kilang Padi, Lesen Membeli Padi, Lesen Beras Runcit dan Kelulusan Khas Menjual Benih Padi bagi benih padi sah (BPS).

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat