Tiga stesen Transit Aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya mengalami gangguan bekalan kuasa akibat disambar petir pada pukul 3.30 petang, hingga mengganggu kekerapan perkhidmatan tren tersebut pada waktu puncak.
Menerusi hantaran di Facebook Rapid KL, tiga stesen yang terlibat termasuk Stesen Kelana Jaya, Taman Bahagia dan Taman Jaya.
“Meskipun mengalami gangguan bekalan kuasa, pengguna masih boleh menggunakan perkhidmatan LRT seperti biasa tetapi dengan kekerapan yang terhad dari selalu,” kata kenyataan tersebut.
Rapid KL memaklumkan, tren yang digunakan masih boleh beroperasi seperti biasa, namun fasiliti lain seperti eskalator, lampu dan lif di tiga stesen tersebut tidak dapat berfungsi dan jurutera Rapid Rail juga sedang giat menjalankan kerja-kerja baik pulih.
Dalam pada itu, pengguna juga boleh menggunakan alternatif selain LRT seperti LRT KL Sentral kepada Transit Aliran Massa (MRT) Muzium Negara dan Monorel KL Sentral; LRT Dang Wangi kepada Monorel Bukit Nanas; LRT KLCC kepada MRT Persiaran KLCC; serta LRT Ampang Park kepada MRT Ampang Park.
Rapid KL turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami oleh pengguna tren laluan tersebut, terutamanya buat mereka yang menggunakannya ketika waktu puncak.
Baca juga: