Di tengah gemuruh konflik yang tidak berkesudahan di Gaza, seorang bapa terpaksa menanggung rindu yang paling dalam terhadap anak-anaknya.
Bagi ramai orang, perpisahan dengan orang yang dicintai dalam keadaan damai sudah cukup sulit, tetapi bagi mereka yang hidup di daerah konflik seperti Gaza, perpisahan itu penuh dengan ketidakpastian dan kegusaran.
Itulah perasaan yang dialami Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman bila terpaksa berpisah dengan isteri dan anak-anaknya.
Bagi Muhammad Nadir, meninggalkan rumahnya adalah pilihan yang menyakitkan namun itulah yang terpaksa dia lakukan.
Meskipun telah meninggalkan Gaza, kegusarannya tidak berakhir. Setiap hari, dia bukan hanya merindui anak-anaknya tetapi hidup dalam ketakutan memikirkan nasib mereka. Dia merasa terputus dari keluarganya, terpisah oleh garis-garis yang dilukis oleh konflik yang tak kunjung usai.
Setiap berita tentang serangan baru atau tragedi di Gaza menghentamnya seperti pukulan yang tak terduga.
Kisah bermula ketika Gaza sedang giat berperang, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Dr Ahmad Sani Araby dan Muhammad Nadir berpeluang bertemu dengan watak utama misi menyelamat iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebulan lalu di satu majlis di Shah Alam sebelum beliau berangkat ke Berlin.
Sehari sebelum menjelangnya Aidilfitri, Muhammad Nadir dihubungi oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Farhan Fauzi antara watak penting dalam misi tersebut.
Sejak awal peperangan, beliau sering menjemput dia ke pejabatnya di Putrajaya dan sering bertanyakan tentang perkembangan dan khabar keluarga dia di Gaza.
Muhammad Nadir kemudiannya begitu terkejut dan terus mengalirkan air mata, ibarat tidak mempercayai apa yang ada di depan mata setelah diberitahu untuk hadir ke satu lokasi khas.
“Alangkah terkejutnya saya saat pintu dibuka, saya diterpa oleh anakanda yang selalu hadir di dalam mimpi sahaja.
“Air mata seorang ayah sudah bertakung tidak tertahan lagi,” tulisnya menerusi akaun Facebook miliknya.
Dalam masa sama, Muhammad Nadir turut menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana baginya perkara tersebut merupakan ‘Misi Gila’ kerana bukan mudah untuk mengeluarkan ahli keluarganya ketika ketegangan antara sempadan sedang berlanjutan.
“Watak utama dalam ‘Misi Gila’ ini adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang secara senyap menghubungi pihak di sana dalam melaksanakan perkara ini.
“Ternyata diplomasi insani ini jauh lebih berkesan daripada kaedah yang lain terserlah sifat kepimpinan yang bagus daripada beliau.
“Prosesnya cepat, teratur dan lancar walaupun penuh dengan 1001 cabaran tersirat,” tulisnya lagi.
Selain itu, Muhammad Nadir turut memuji tindakan Anwar Ibrahim yang menghalang kemasukan kapal milik penjajah ke pelabuhan di Malaysia serta ketegasan beliau dalam menyatakan sokongan kepada Hamas dan mutakhir jawapan berpendirian di hadapan Canselor Jerman, Scholz.
Justeru itu, Muhammad Nadir mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri, Setiausaha Politik, Dr Sani Araby serta semua pihak yang menjayakan usaha tersebut.
Baca juga: