Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa menetapkan tiga hari bermula 6 Januari 2026 untuk perbicaraan kes saman yang difailkan bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.
Beliau menfailkan saman fitnah terhadap ahli perniagaan Datuk Seri Aliff Syukri Kamaruzaman berhubung kenyataan membabitkan hutang pelaburan berjumlah puluhan juta ringgit.
Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan 6 hingga 8 Januari 2026 sebagai tarikh bicara dan pada 5 Julai ini, ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya.
Terdahulu, peguam T.Dheenish mewakili Abdul Kadir selaku plaintif berkata, anak guamnya akan memberi keterangan pada perbicaraan kes saman itu.
“Kemungkinan pihak plaintif akan memanggil beberapa saksi daripada portal berita yang menerbitkan dakwaan defendan (Aliff Syukri), yang dimuat naik di Instagram dan Facebook milik defendan,” kata peguam itu.
Peguam Mohd Tajudin Abd Razak yang mewakili Aliff Syukri pula berkata, pihak defendan akan mengemukakan dua saksi, iaitu anak guamnya sendiri dan isterinya Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid untuk memberi keterangan di mahkamah.
Abdul Kadir, 84, yang memfailkan saman pada 6 September 2023 berkata Aliff Syukri, 37, yang terbabit dalam industri hiburan dengan jumlah pengikut yang ramai dalam platform media sosial iaitu Facebook, Instagram dan lain-lain, didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap plaintif di Instagram dan Facebook miliknya pada 2 Julai 2023.
Bekas menteri penerangan itu mendakwa, kenyataan itu membawa maksud antaranya plaintif berhutang dengan defendan berjuta-juta ringgit, selain gambar plaintif yang diletakkan pada kenyataan tersebut telah mengundang komen negatif daripada pembaca.
Oleh itu, plaintif menuntut antaranya defendan membayar RM70 juta untuk libel (fitnah bertulis) dan ganti rugi yang dinilai oleh mahkamah, selain perintah supaya defendan memberikan aku janji bertulis untuk tidak akan menyiarkan sebarang fitnah terhadap plaintif serta permohonan maaf tanpa syarat yang disiarkan di akaun media sosial defendan, dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah ini.
Sementara itu, Aliff Syukri menerusi pernyataan pembelaannya mendakwa beliau sudah membuat bayaran pelaburan sebanyak RM30 juta bagi mematuhi perjanjian usaha sama bertarikh 26 November 2018 yang melibatkan plaintif, defendan serta dua syarikat.
“Pihak-pihak di dalam perjanjian usaha sama gagal membuat pembayaran wang yang telah dilaburkan oleh saya dan segala pelanggaran-pelanggaran janji sedemikian termasuklah aku janji yang diberikan plaintif kepada saya adalah di dalam pengetahuan plaintif sendiri,” dakwa defendan.
Baca juga: