Filem yang menampilkan sisi gelap dunia polis, Sheriff: Narko Integriti arahan Syafiq Yusof berjaya mendapat kutipan awal lebih RM1 juta.
Ia memberi petanda filem terbitan dua syarikat gergasi, Skop Productions dan Astro Shaw bakal mencapai kutipan box-office dalam masa terdekat.
Syafiq yang dilabel sebagai ‘Raja Plot Twist’ oleh penggemar filem di Malaysia pastinya tidak akan menghampakan penonton dengan jalan cerita yang penuh teka-teki.
“Sheriff membawakan sebuah perspektif yang belum pernah dibawa oleh filem-filem kepolisian terbitan Skop Productions sebelum ini.
“Idea filem Sheriff ini tercetus daripada gabungan Datuk Yusof Haslam dan saya sendiri berdasarkan filem-filem kepolisian yang pernah kami hasilkan sepert KL Special Force dan juga Polis Evo 3.
“Namun untuk karya Sheriff, saya tambahkan sentuhan istimewa untuk penggemar-penggemar genre filem psikologi,” katanya dalam satu kenyataan.
Watak-watak di dalam filem Sheriff digerakkan oleh barisan pelakon hebat tempatan seperti, Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Datuk Aaron Aziz, Azira Shafinaz, Elizabeth Tan, Sharuddin Tamby, Amir Nafis, Kodi Rasheed, Hazama, Azri Iskandar, dan ramai lagi.
Zul Ariffin menyerlahkan sisi berbezanya menerusi watak Sheriffudin Hussein, di mana penonton akan mengalami pelbagai konflik emosi sehingga menimbulkan perasaan ‘love-hate’ terhadap karakter ini.
Sheriff: Narko Integriti mengisahkan Nazri, polis dari Jabatan Narkotik lakonan Syafiq Kyle yang berasa terdesak untuk menyelesaikan sindiket dadah Tony Ifrit (Aaron Aziz) yang semakin berleluasa selepas Tony terlepas daripada hukuman.
Pada masa yang sama, Sheriff dari Jabatan Integriti telah dihantar pihak Bukit Aman untuk menyelesaikan kes ‘Meth Killer’ dan dia ditugaskan bersama Nazri untuk berada di bawah satu jabatan.
Filem ini akan mula ditayangkan di pawagam tempatan dan Singapura bermula 18 April.
Baca juga: