Op Selamat 22 catat penurunan kemalangan, kematian berbanding tahun lalu

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan jumlah kemalangan dalam Op Selamat 22 mencatatkan penurunan pada tahun ini berbanding tahun 2023.

Op Selamat pada tahun ini mencatatkan jumlah sebanyak 8,862 kes yang menunjukkan penurunan sebanyak 127 kes iaitu 1.41 peratus berbanding tahun lalu yang merekodkan jumlah sebanyak 8,989 kes.

“Kemalangan maut yang direkodkan pula adalah sebanyak 105 kes dengan kematian seramai 119 orang, turut menurun masing-masing sebanyak 10 peratus dan 6 peratus berbanding Op Selamat tahun lalu.

“Kategori penunggang dan pembonceng motosikal masih menjadi kes kematian tertinggi dengan mencatatkan 79 kematian, berbanding 80 kematian yang dicatatkan semasa OP Selamat 20/2023,” kata kenyataan JSPT.

Dalam pada itu, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dinobatkan sebagai kontinjen yang terbaik dalam pengendalian Op Selamat tahun ini diikuti oleh IPK Kelantan dan IPK Negeri Sembilan.

Anugerah tersebut diumumkan pada Majlis Penganugerahan Daerah Terbaik Op Selamat 22 Hari Raya Aidilfitri yang telah disampaikan oleh Pengerusi Kumpulan Telekom Malaysia Berhad (TM), Datuk Zainal Abidin Putih bersama Pemangku Pengarah JPST, Deputi Komisioner Datuk Mohd Nasri.

Majlis yang diadakan di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif TM, Amar Huzaimi Md Deris, barisan Pengarah-Pengarah PDRM, Ketua-Ketua Polis Negeri, Ketua-Ketua Jabatan dan agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO).

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat