Jabatan Peguam Negara akan mengambil kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz pada 17 April 2024 berkaitan afidavit tambahan no.3 yang diikrarkan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam prosiding undang-undang yang dimulakan oleh Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri pada afidavitnya 9 April lepas memberitahu melihat salinan Titah Adendum melalui telefon Tengku Zafrul yang menyatakan Najib Razak dibenar menjalani hukuman di rumah.
Sementara itu, Tengku Zafrul memuat naik satu kenyataan rasmi menerusi akaun Facebook mengatakan, beliau ingin mendapatkan nasihat undang-undang yang sesuai berkenaan perkara tersebut.
“Saya juga ingin membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk meminta kebenaran bagi menfailkan afidavit saya untuk memperbetulkan beberapa kesilapan fakta yang terkandung dalam afidavit berkenaan.
“Pendirian saya bukan untuk mempertikaikan merit isu yang sedang berlangsung, hanya ingin memastikan bahawa fakta sebenar direkodkan dengan betul supaya semua pihak, khususnya Mahkamah Tinggi, dapat menilai kesemua fakta material dengan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan rasmi yang dimuat naik menerusi akau Facebook miliknya.
Pada 28 Julai 2020, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).
Bagaimanapun pada 2 Februari lepas, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengurangkan hukuman dan denda yang dikenakan terhadap Najib.
Lembaga tersebut mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada 6 tahun, dan denda dikurang kepada RM50 juta.
Bekas Perdana Menteri terbabit dijangka dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Baca juga: