Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan syarat-syarat pelepasan cukai bagi latihan sukan seperti yang terkandung dalam pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Jumaat.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, pelepasan ini akan diperluaskan meliputi perbelanjaan yuran mengikuti latihan sukan.
“Perbelanjaan yang dibenarkan adalah untuk kegunaan atau manfaat diri sendiri, suami dan isteri atau anak.
“Antara jenis pelepasan cukai individu berkaitan perbelanjaan sukan layak dituntut termasuk pembelian peralatan sukan untuk aktiviti sukan mengikut jenis sukan disenaraikan dalam Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) tidak termasuk basikal dua roda bermotor.
“Selain itu, bayaran sewaan atau bayaran kemasukan ke mana-mana fasiliti sukan dan juga bayaran pendaftaran bagi menyertai apa-apa pertandingan sukan,” ujarnya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.
Tambah Hannah, pelepasan cukai individu termasuk yuran keahlian gimnasium atau latihan sukan yang layak mendapat pelepasan cukai adalah latihan secara ‘one-off’ atau bersiri yang diadakan secara berstruktur seperti kelas, klinik, kursus, bengkel dan sebagainya.
“Jenis sukan adalah seperti yang tersenarai di bawah Jadual Pertama, Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).
“Penyedia latihan mestilah persatuan, kelab sukan, syarikat yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan atau diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016.
“Perbelanjaan bagi yuran latihan sukan dibuktikan dengan resit pembayaran termasuk resit yang dijana secara dalam talian (bank-in slip dan penyata akaun bank tidak boleh digunakan sebagai bukti atau resit pembayaran),” jelasnya.
Difahamkan, orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan terlebih dahulu sama ada penyedia latihan yang ingin disertai mematuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan agar mereka layak untuk mendapat pelepasan cukai ini.
Terdahulu, kerajaan mencadangkan pelepasan cukai khusus untuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan terhad sehingga RM1,000.
Baca juga: