Khutbah Jumaat di Selangor ingatkan tentang penularan berita gejala sosial

Khutbah Jumaat di Selangor memberi penegasan tentang penularan berita gejala sosial yang berlaku boleh menyebabkan penyelewengan akidah dalam kehidupan umat Islam pada masa kini.

Sering dilihat paparan dan olahan akhbar banyak memuatkan berita tentang kejadian melibatkan gejala sosial, malah, bukan sahaja dipaparkan dalam pelbagai media dan akhbar tetapi menerusi aplikasi Whatsapp, Facebok, X dan sebagainya.

Menurut khutbah yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), masalah penyelewengan akidah dan gejala sosial dapat dilihat sebagai petanda awal suatu kehidupan yang memesong jauh daripada kehendak syarak.

“Segala permasalahan ini menunjukkan kerosakan dalam kehidupan individu, keluarga, masyarakat umat Islam yang sangat kritikal. Ia merupakan suatu jenayah yang melampaui batas akidah, hukum syarak dan akhlak yang menjadi panduan kepada kita semua.

“Banyak kaedah yang dapat dilakukan untuk mengelakkan permasalahan ini daripada berterusan.

“Antara yang utama adalah menjadikan ketetapan agama sebagai benteng kehidupan seseorang yang mengaku beriman. Dekatilah agama dengan mendekati diri kepada Allah SWT dan menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai qudwah hasanah (teladan yang baik) dalam semua urusan hidup di dunia
ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Selain itu juga, kehidupan bermasyarakat yang aman dan tenteram sangat penting untuk dipelihara dan dikekalkan.

Masyarakat yang hanya mementingkan diri sendiri akan membuka ruang kepada masalah akidah dan sosial yang semakin membimbangkan. Sepatutnya fungsi dan peranan masyarakat hendaklah wujud dan kuat dengan prinsip saling tegur menegur dan nasihat menasihati demi kepentingan semua pihak.

Secara keseluruhannya, umat Islam hendklah sedar bahawa musuh yang tersembunyi tetapi berpengaruh besar dalam hidup kita adalah syaitan dan hawa nafsu.

Masyarakat perlu membina dan memelihara suasana harmoni berlandaskan Islam yang mendukung kebaikan serta membenci perbuatan yang mendorong ke arah maksiat agar tidak terus rosak dan sesat.

Umat Islam juga hendaklah sentiasa memelihara hati yang berasaskan keimanan kepada Allah SWT supaya sentiasa menjadi tenang dan diredhai Allah SWT.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat