Seorang pelajar lelaki sekolah menengah meninggal dunia ketika merentas desa peringkat sekolah di sekolahnya pada Jumaat.
Menurut Deputi Superintenden Syahrul Anuar Abdul Wahab selaku Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, siasatan awal mendapati pelajar tersebut menyertai kejohanan merentas desa bersama 700 pelajar lain.
“Kejohanan berkenaan sejauh 7 kilometer dan ketika menghampiri garisan penamat, Nuqman Naufal Shamsul Fadzli, 14, telah rebah dan tidak sedarkan diri.
“Dalam masa sama, guru yang bertugas di lokasi telah cuba memberikan bantuan pernafasan tetapi pelajar itu tidak menunjukkan sebarang tindak balas,” katanya dalam satu kenyataan.
Syahrul Anuar berkata, hasil siasatan lanjut mendapati pelajar berkenaan disahkan menghidap penyakit jantung berlubang dan pernah menjalani pembedahan jantung pada tahun 2016.
“Pelajar tersebut memegang kad rawatan Institut Jantung Negara (IJN) dan mengambil ubat secara berkala,” ujarnya.
Walaubagaimanapun, siasatan masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Pihak sekolah telah menghubungi pihak ambulans dan semasa berada di unit kecemasa Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), pelajar berkenaan telah disahkan meninggal dunia.
Baca juga: