Cuba sembunyi di dalam siling, 44 PATI berjaya dicekup

Seramai 44 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) cuba melarikan diri daripada ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor dalam operasi di Taman Daya, Johor Bahru pada Isnin.

Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir berkata, 13 premis diserbu menerusi Ops Sapu berikutan maklumat yang diperoleh daripada orang awam mengenai sejumlah warga asing yang tinggal di Malaysia tanpa permit sah di kawasan itu.

“Secara keseluruhannya, seramai 93 warga asing dan warga tempatan diperiksa dengan 44 daripadanya ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki pas atau permit sah untuk berada di Malaysia.

“Mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Baharuddin, dua notis hadir ke pejabat telah dikeluarkan kepada beberapa individu dalam operasi itu bagi membantu siasatan.

“Ketika operasi dijalankan, ada beberapa PATI cuba melarikan diri termasuk cuba bersembunyi di siling rumah bagi mengelak ditahan oleh pihak berkuasa.

“Mereka yang ditahan berusia antara 11 bulan hingga 53 tahun dan semuanya ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat