KBS lancar MyMHI’23 untuk ukur tahap kesihatan mental belia berumur 15 hingga 30 tahun

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) merasmikan pelancaran Indeks Kesihatan Mental Belia Malaysia 2023 (MyMHI’23) pada Isnin di Putrajaya yang merangkumi tujuh fokus utama yang bertujuan untuk mengukur tahap kesihatan mental belia.

Tujuh fokus utama indeks ini termasuk gaya hidup, persekitaran, keperibadian individu, pengalaman hidup, sokongan sosial, pengendalian tekanan, dan minda sihat, serta disokong oleh 28 indikator.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang turut hadir di majlis tersebut berkata, bahawa ia merupakan usaha antara KBS dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memastikan kesejahteraan kesihatan mental belia Malaysia tidak diabaikan.

Dzulkefly turut menyampaikan statistik daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyatakan satu dalam tujuh belia mengalami cabaran kesihatan mental seperti kemurungan, kegelisahan dan stres kerana cabaran yang dihadapi mereka pada zaman moden ini adalah sesuatu yang belum pernah terjadi sebelum ini.

“Memandangkan pelbagai isu kesihatan mental merentasi pelbagai kumpulan umur, kita memerlukan kerjasama dan keselarasan dari pelbagai pihak berkepentingan, menggarap setiap sumber dan kemahiran dengan pendekatan ‘whole-of-nation‘.

“KBS memainkan peranan penting dalam membentuk persekitaran dan program untuk pembangunan generasi muda, termasuk kesihatan mental mereka,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa indeks ini merupakan suatu tekad dan langkah penting yang perlu dimanfaatkan untuk membentuk dasar, memperuntukkan sumber dan melaksanakan program yang boleh menjulang semangat belia.

Inisiatif MyMHI’23 ini diterajui oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) dan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebagai perasmi indeks berkenaan; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli dan Ketua Setiausaha KBS, Dr Nagulendran Kamgayatkarasu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat