Tengkorak, tulang manusia ditemukan di hutan Kledang Sayong Perak

Pihak Polis Daerah Ipoh telah menerima satu laporan polis mengenai penemuan tengkorak manusia di hutan Kledang Sayong, Ipoh, Perak pada Isnin.

Menurut Abang Zainal Abidin Abang Ahmad selaku Ketua Polis Daerah Ipoh, pihak polis daerah Ipoh telah hadir ke lokasi kejadian dan mengesahkan penemuan tersebut.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan membawa penemuan satu tengkorak dan satu tulang berdekatan dengan Sungai Tapah.

“Dalam pada itu, barang kes dijumpai bukan di kawasan laluan para pendaki dan identiti sebenar mangsa masih belum dikenal pasti.

“Proses bedah siasat akan dijalankan pada 23 April 2024, untuk mencari punca sebenar kematian. Walaubagaimanapun, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan.

Difahamkan, Unit Forensik (D10) dan Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak turut terlibat bagi membantu siasatan di tempat kejadian.

Dalam masa sama, pihak polis mengalu-alukan kerjasama daripada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian atau kehilangan ahli keluarga diminta untuk tampil atau berhubung dengan Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ipoh di talian 05-2542222.

Baca juga: