AMANAH persoal keputusan Terengganu tolak Akta Laut Wilayah 2012

Parti Amanah Negara (AMANAH) Terengganu memandang serius berkenaan penolakan Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) oleh Kerajaan Negeri Terengganu dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Terengganu pada 25 April 2024.

Menurut Pengerusi AMANAH Terengganu, Mohd Hasbie Muda, pihaknya berpandangan bahawa ia satu tindakan yang janggal dan aneh memandangkan tindakan itu diambil hanya selepas enam tahun Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bergelar Menteri Besar Terengganu.

“Keputusan yang lambat ini menimbulkan persoalan tentang kecaknaan, kesungguhan dan ketegasan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Dr Samsuri dalam mempertahankan hak Negeri Terengganu.

“Sepanjang 33 bulan pentadbiran Kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional yang turut dianggotai oleh PAS sebelum ini.

“Mengapa Dr Samsuri dan Kerajaan Terengganu tidak berbuat apa-apa untuk meminda atau memansuhkan Akta Laut Wilayah 2012 apatah lagi Menteri Undang-Undang ketika itu juga adalah dari PAS?” soalnya.

Mohd Hasbie berkata, Menteri Kewangan pada ketika itu dengan jelas menyebut bahawa Kerajaan Negeri Terengganu tidak layak menerima royalti atau bayaran tunai hasil petroleum sebaliknya hanya wang ehsan.

“Wang ehsan yang diterima adalah kerana tiada hasil petroleum yang didapati dan dijumpai dalam perairan negeri atau tiga batu nautika dari garis pantai Wilayah.

“Malangnya, pimpinan kerajaan Terengganu sekadar berdiam diri seolah-olah akur bahawa Negeri Terengganu hanya berhak menerima wang ehsan bukannya royalti,” katanya.

Dalam pada itu, terdapat kelemahan dan kelambatan pihak pimpinan kerajaan Terengganu dalam melindungi hak dan kepentingan negeri serta rakyatnya.

“Sekadar membuat kenyataan menolak Akta 750 tidak membawa apa-apa makna dan sia-sia sahaja.

“Persoalannya adalah, Dr Samsuri benar-benar berani menyaman terhadap Kerajaan Persekutuan dalam isu keabsahan Akta Laut Wilayah 2012? Atau kenyataan tersebut hanyalah modal politik bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei depan?” soalnya lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat