Maritim rampas bot fiber, enjin dan minuman keras bernilai RM472,000

Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Labuan merampas sebuah bot pancung fiber bersama tiga buah enjin serta 10,728 tin minuman keras yang cuba diseludup keluar dari Pulau Labuan di kedudukan 2.9 batu nautika timur laut Pulau Balangkasan sekitar pukul 5.10 pagi hari Khamis.

Pengarah APMM Labuan, Kapten Maritim Izwanhadi Idros berkata, rampasan dibuat menerusi rondaan Op Sejahtera 1/2022, Op Khas Pagar Laut 1/2024 dan Op Tiris 3.0 yang dilakukan pada hari kejadian.

“Pihak Maritim mengesan dan menghampiri bot berkenaan yang bergerak dalam keadaan mencurigakan dari Pulau Labuan menuju ke Menumbok.

“Bot kemudian bertindak memecut ke arah tebing hutan bakau muara Sungai Klias dan tekong bot telah melarikan diri ke hutan paya bakau berhampiran,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pemeriksaan lanjut dalam bot pancung fiber tersebut mendapati tin dan botol minuman keras pelbagai jenama dipercayai dibawa secara haram dan cuba diseludup keluar dari Pulau Labuan untuk pasaran tempatan.

Kesemua barang rampasan yang bernilai kira-kira RM472,000 tersebut diiring masuk ke jeti Zon Maritim Labuan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Izwanhadi turut berkata kes disiasat dibawah Akta Kastam 1967 kerana membawa keluar minuman keras tanpa cukai melebihi jumlah yang dibenarkan dan pihaknya sedang mengesan suspek untuk dikenakan tindakan undang-undang.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat