Mayat seorang wanita warga emas ditemui sepasukan bomba dalam sebuah rumah terkunci dalam kejadian di Taman Lily Sin On, Tawau, Sabah pada Khamis.
Komander Operasi, Mohd Yahya Abdul Fattah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.51 petang melalui talian terus ke balai untuk bantuan membuka pintu terkunci di rumah tersebut.
“Bertindak atas maklumat, lapan anggota bertugas daripada balai tersebut telah digerakkan ke lokasi kejadian bersama jentera FRT dan kenderaan Unit EMRS sebaik panggilan di terima.
“Sebaik tiba di lokasi, anggota Bomba telah bertindak membuka pintu rumah yang terkunci dengan menggunakan peralatan khas,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Mohd Yahya, sebaik pintu berjaya dibuka, pihak bomba menemui terdapat seorang wanita di dalam rumah tersebut.
“Mangsa dikenal pasti merupakan warga emas berusia 82 tahun telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM),” ujarnya.
Difahamkan, mayat mangsa telah diserahkan kepada pasukan PDRM untuk tindakan selanjutnya.
Baca juga: